WELCOME.

Friday, May 27, 2011

KESEIMBANGAN CECAIR BADAN SEMASA SENAMAN ( BERBASIKAL ) DALAM KEADAAN BERHABA

 Salam.......

Kehilangan cecair badan yang menyebabkan pengurangan isipadu plasma yang kecil pun boleh menjejaskan kapasiti kerja fizikal (35). Semasa senaman yang berpanjangan, pengekalan isipadu plasma merupakan faktor yang amat penting. Peningkatan kadar denyutan progresif biasanya berlaku semasa bersenam pada beban kerja yang tetap. Perkara ini mencerminkan peningkatan keluaran jantung yang diperlukan untuk memenuhi keperluan peningkatan aliran darah ke kulit untuk meningkatkan kadar kehilangan haba, di samping mengekalkan bekalan oksigen dan substrat kepada otot-otot yang bekerja (36). Pengagihan semula aliran darah ini melibatkan pengurangan aliran darah dari usus ke hepar yang mungkin menurunkan kadar pengosongan gastrik dan penyerapan usus. Kadar maksimum penyerapan air daripada usus semasa senaman berat kemungkinan menjadi tidak sepadan dengan kadar kehilangan peluh yang tinggi (37). 
Kemampuan untuk melakukan senaman yang berpanjangan dalam keadaan panas memerlukan penggantian air yang hilang untuk mengelakkan dehidrasi. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan air semasa senaman adalah berkesan untuk meningkatkan prestasi dan melambatkan titik mula lesu (9, 37-42). Untuk mengekalkan kadar keluaran kerja yang tinggi atau prestasi bersenam dalam keadaan panas, mungkin juga dihadkan oleh bekalan karbohidrat yang sedia ada sebagai bahan bakar bagi otot-otot yang bekerja. 
Oleh itu, minuman kabohidrat berelektrolit yang diambil semasa senaman mempunyai dua fungsi, membekalkan air untuk menggantikan air yang hilang melalui peluh dan sebagai suplimen bahan bakar yang punca karbohidrat tersimpan dalam tubuh adalah terhad (5, 34, 43-47). Below et al. (38) telah menunjukkan bahawa pengambilan air dan karbohidrat mempunyai kesan aditif dan tidak bersandar terhadap prestasi senaman. Satu kajian telah menunjukkan penggantian air pada kadar 100ml seminit tidak meningkatkan enduran berbasikal pada 70% VO2max, sedangkan pengambilan 4% minuman glukosa-berelektrolit telah dapat memanjangkan masa senaman secara signifikan (48). Kadar substrat dan air yang boleh dibekalkan kepada seseorang semasa senaman adalah dihadkan oleh kadar pengosongan gastrik dan penyerapan usus, malah tidak jelas yang mana satu proses mengehadkannya. Secara umumnya, kadar pengosongan gastrik dianggap akan menentukan kadar maksimum pengambilan cecair dan substrat yang sedia ada (34, 44). 
Meningkatkan kandungan karbohidrat dalam minuman akan melambatkan kadar pengosongan gastrik (49) dan mengurangkan kadar air yang boleh dibekalkan. Akan tetapi kehadiran glukosa dan natrium di dalam ruangan usus kecil dapat merangsang penyerapan dengan syarat osmolaliti cecair tidak tinggi (50). Sebaliknya, meningkatkan kandungan karbohidrat dalam minuman akan meningkatkan jumlah bekalan bahan bakar, tetapi ia cenderung mengurangkan kadar jumlah air yang boleh diserap oleh usus. Jika keperluan air diutamakan, maka kandungan karbohidrat dalam minuman seharusnya rendah, tetapi ini mengehadkan kadar pembekalan substrat (karbohidrat). 
Komposisi minuman yang perlu diambil semasa senaman akan dipengaruhi oleh keperluan untuk membekalkan bahan bakar dan air. Pembekalan ini juga bergantung kepada intensiti dan tempoh senaman, suhu dan kelembapan persekitaran serta ciri-ciri fisiologi dan biokimia seseorang atlit. Jika keutamaan adalah penggantian air, maka minuman isotonik atau hipotonik sederhana yang mengandungi karbohidrat dan natrium adalah lebih efektif (51). Kebanyakan minuman sukan dalam pasaran mengandungi 6-8% karbohidrat, lebih kurang 20-25mmol.L-1 natrium dan kepekatan kalium yang rendah (4-5 mmol.L-1). Formula kandungan minuman ini menggambarkan kompromi antara penggantian air pada kadar tertinggi dan pembekalan karbohidrat yang terbanyak. Daripada rumusan kajian-kajian lepas, adalah dilaporkan bahawa kadar pengosongan gastrik yang sama diperolehi bagi minuman yang mengandungi karbohidrat antara julat 0-10% (52). 
Dengan menggunakan pelbagai model eksperimen terhadap kesan-kesan penggunaan beberapa jenis minuman yang berbeza telah dijalankan secara meluas. Kebanyakan kajian tersebut telah menunjukkan kesan-kesan positif terhadap pengambilan minuman ke atas prestasi senaman. Coyle et al. (53) telah menunjukkan bahawa senaman pada beban kerja yang tetap boleh dikekalkan 30% lebih lama (dari 3 hingga 4 jam) apabila minuman berkarbohidrat diberikan semasa senaman. Sebegitu juga, lima kajian lain yang dikendalikan dengan teliti telah menunjukkan bahawa pengambilan minuman berkarbohidrat dapat meningkat prestasi berbasikal bagi kayuhan yang dilakukan secara berterusan selama 2 jam atau lebih (54-58). Walau bagaimanapun, tiga kajian yang lain menunjukkan bahawa pengambilan minuman berkarbohidrat tidak memberi kesan positif dan tiada satu pun daripada kajian tersebut menunjukkan prestasi senaman terjejas (59-61). Dalam semua kajian yang menunjukkan kesan positif, jumlah isipadu minuman yang diambil adalah antara 0.4 hingga 2.7 liter dan pengambilan karbohidrat adalah antara 120 hingga 410 gram. 
Dalam kajian senaman intermiten berbasikal yang berpanjangan dan diikuti dengan pecutan selama 12 hingga 14 minit pada intensiti yang tinggi, didapati prestasi meningkat apabila minuman yang mengandungi pelbagai jenis gula pada kepekatan 50, 60 atau 75g.L-1 diberikan pada kadar 8.5ml.kg-1.hr-1 (62) atau minuman yang mengandungi 6% sukrosa (42g dalam 692ml) diberikan (63). Begitu juga, apabila minuman 47g campuran glukosa-sukrosa dengan tambahan elektrolit atau 55g campuran glukosa polimer-fruktosa dengan tambahan elektrolit juga boleh meningkatkan prestasi pecutan berbasikal yang bertahan selama 6 minit (44). Walau bagaimanapun, tiada peningkatan prestasi senaman apabila minuman yang diberikan mengandungi polimer glukosa rendah, fruktosa (76g dalam 1.27L) atau 8-10% polimer karbohidrat (44, 64, 65). 
Seperti mana dalam kajian berbasikal, prestasi larian juga meningkat apabila minuman berkarbohidrat diberikan (90g sukrosa dalam 500ml (66); minuman yang mengandungi 7% karbohidrat berelektrolit (67). Dalam satu kajian berjalan kaki yang berpanjangan, masa berjalan meningkat apabila minuman 120g polimer glukosa dalam 1.5L air diberikan berbanding dengan plasebo (68). Dalam satu kajian yang lain, iaitu subjek boleh mengubah kelajuan treadmill untuk mencapai jarak larian maksimum dalam tempoh masa yang ditetapkan atau menamatkan jarak larian yang ditetapkan dalam masa tersingkat, Williams dan rakan-rakan, telah menunjukkan peningkatan kelajuan pada peringkat akhir ujian larian apabila minuman mengandungi karbohidrat diberikan (69, 70). 
Dalam kajian lapangan, meskipun terdapat banyak kesukaran dalam mengendalikan kajian sedemikian dan kekurangan kajian yang dikawal dengan teliti, masih terdapat kajian-kajian yang menunjukkan kesan ergogenik melalui pengambilan minuman glukosa berelektrolit. Dalam satu uijan berjalan/larian, subjek yang diberi minuman glukosa berelektrolit dapat menamatkan jarak sejauh 7 batu (11.2 km) manakala subjek yang tidak diberikan minuman hanya dapat mencapai jarak purata 7.5km (71). Dalam satu kajian iaitu dua kumpulan pelari maraton yang sepadan mengambil 1.4L sama ada air biasa atau minuman glukosa berelektrolit, didapati 60% daripada peserta yang mengambil minuman glukosa berelektrolit dapat berlari lebih pantas daripada yang dijangkakan berbanding dengan 40% pelari yang mengambil air biasa (72). Begitulah juga dengan pemain bola sepak yang diberi 7% polimer glukosa semasa latihan perlawanan didapati kurang menggunakan glikogen sebanyak 31% berbanding dengan kumpulan placebo (73). Penggunaan glikogen yang kurang ini memberikan kelebihan kepada pemain pada penghujung perlawanan, kajian ini telah menunjukkan bahawa pemain yang bermula dengan simpanan glikogen otot yang rendah, berlari pada jarak yang kurang khususnya semasa separuh masa kedua dan menggunakan lebih masa untuk berjalan serta berlari pada kelajuan yang rendah (74). 
Walaupun terdapat bukti jelas yang menunjukkan kesan positif pengambilan air dan kesan negatif akibat dehidrasi terhadap prestasi senaman (75), masih terdapat ramai atlit yang tidak mengambil minuman yang mencukupi untuk menggantikan air yang hilang melalui peluh semasa senaman (76). Sebahagian dari fenomena ini disebabkan oleh mekanisme dahaga yang kurang sensitif pada manusia. Biasanya rangsangan untuk meminum akan tercetus apabila tahap dehidrasi mencapai kehilangan air sebanyak 2% daripada berat badan (28). Tahap dehidrasi ini sudah cukup untuk menjejaskan prestasi senaman dan kapasiti regulasi suhu. Meminum air boleh dirangsang kepada suatu takat dengan meningkatkan citarasa sesuatu minuman (77) atau dengan mendidik para atlit melalui proses peningkatan kesedaran tentang perlunya usaha untuk menambah pengambilan air dalam situasi dehidrasi mungkin berlaku. 

Di petik dari;
Malaysian Journal of Medical Sciences, Vol. 10, No. 2, July 2003, pp. 4-19

Rabindarjeet Singh
Sports Science Unit, School of Medical Sciences, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia
Correspondence:
Profesor Rabindarjeet Singh, BSc (Hons)(Essex), PhD (London), Sports Science Unit, School of Medical Sciences, Universiti Sains Malaysia, Health Campus, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia Phone: +609 766 4833 or +609 766 3000 ext 4833 Fax: +609 764 1945 E-mail: rabindar@kck.usm.my

No comments:

Post a Comment

Popular Posts